Wednesday, June 26, 2024

Ukhuwah Fillah

Berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah tersohor dan gah, menghadirkan keterujaan tersendiri. High School Batu Pahat atau Sekolah Tinggi Batu Pahat yang aku kunjungi siang tadi meniup kembali bara perjuangan ku untuk terus teguh berdiri. Selepas insiden yang meluka hiris perasaan semalam, aku mulakan langkah di hening pagi memandu santai ke destinasi dengan semangat membara. Mak abah dah latih aku menjadi serikandi ~ yang pantang undur sebelum kalah berjuang.  Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Akan ku genggam bara api biar sampai jadi arang.. meski dengan linangan air mata aku akan terus gagah melangkah.

Lawatan Penanda Aras ke HSBP berlangsung lancar dan tenang. Seperti biasa, aku peserta terawal tiba di sana. Sejak dahulu aku memang tak suka kehadiran ku dinantikan orang. Ketibaan 'rombongan' MPSM JB disambut mesra oleh tuan rumah penuh hemah dan ramah. Di sana, kami disajikan pelbagai 'hidangan' ilmiah mengenyangkan jiwa yang sentiasa dahagakan pengetahuan baharu. Terharu rasanya bila turut berpeluang menyicip hidangan tengahari yang dimasak sendiri oleh kepala sekolah. Terima kasih Tuan Haji Ramlan bin Pit serta seluruh warga HSBP yang menerima kunjungan kami dengan tangan terbuka. Semoga jalinan dan jaringan yang terbina mengukuhkan ukhwah kita semua. Jemputlah ke Medini pula..

No comments: