Friday, February 28, 2025

Salam Rindu Buat Ramadhan

Ramai rakan yang menghubungi aku kerana confuse tentang status aku sekarang.. Masih bercuti sakit atau dah start bekerja sepenuhnya? Sebenarnya aku masih dalam MC akibat kecederaan kaki yang masih belum pulih. Cuti sakit yang diberi oleh pakar Orthopaedic memang lama.. setiap dua minggu aku perlu ke hospital untuk  melihat perkembangan bahagian yang dibedah sama ada telah pulih atau masih memerlukan rawatan lanjutan. Cuma, aku tak betah duduk di rumah. Ke sekolah pun aku tak lasak.. sekadar duduk di pejabat melakukan rutin yang ringan tanpa memerlukan banyak pergerakan. Don't worry, insyaAllah aku cuba menjaga diri.





Pagi ini, aku ke sekolah menghadiri majlis perasmian Program Ihya' Ramadhan sempena kehadiran bulan puasa yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Perjalanan program yang santai namun sarat dengan info Ramadhan ini disambut oleh semua warga muslim SMK Medini di Dewan Iskandar. Alhamdulillah majlis yang dirancang berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Gimik pelancaran pun sempoi dan menghiburkan. Alhamdulillah terima kasih team Pendidikan Islam. Semoga semua yang diatur berjaya direalisasikan. InsyaAllah.






Ahlan wasahlan ya Ramadhan. Selamat menjalani ibadah puasa buat semua. Semoga kita dapat menjalani ibadah dengan baik dan menjaga hati, lisan serta perbuatan sepanjang bulan yang mulia ini. Ramadhan Kareem 🌹❤️


Larian Medini 2025

Padat betul diari hidupku semalam sehingga ketandusan waktu merakam kenangan buah tangan sulung SMED sebagai pembuka gelanggang tahun 2025 ini. Program tahunan anjuran Unit Kokurikulum yang diterajui Puan Marfiza Mohtar berjaya dilaksanakan dengan penyertaan majoriti anak Medini dan turut diserikan dengan kehadiran YDP dan barisan AJK PIBG SMed yang sangat sporting dan sentiasa ceria. Melihat pelbagai ragam anak-anak, para guru, petugas dan ibu bapa yang hadir, mengundang derai tawa dan keseronokan bekerja sebagai sebuah keluarga meski dari latar hidup yang berbeza. 

Terima kasih yang tidak terhingga atas kebersamaan semua yang menjayakan Larian Medini 2025. Semoga keakraban dan ukhuwah sebegini diteruskan pada masa akan datang. Salam Medini di Hati ❤️ 

#mediniansareawesome
#terokaiuntukterajui
#majulahsukanuntuknegara







Thursday, February 27, 2025

Mimbar Al-Madani ~ Akhirnya!

Terharu, gembira, sayu.. semua perasaan bercampur baur sebaik jemari ini direzekikan menyentuh mimbar di surau Al-Madani pagi ini. Tidak henti-henti hati kecil ini melafazkan kesyukuran kerana mengizinkan aku melihat dan menyentuh mimbar yang dibeli daripada SK Medini ~ satu lagi keinginan ku telah dimakbulkan Ilahi. Hampir gugur air mata asbab terlalu teruja!

Alhamdulillah, hari ini pihak Duracleen melaksanakan program CSR mereka dengan membersihkan karpet di Surau Al-Madani sebagai persediaan melaksana ibadah solat fardu Jumaat esok. Seusai majlis penyampaian hadiah Larian Medini, Hajah dan En Hairul mengajak aku ke surau melihat CSR proses membersih yang dilakukan pasukan JLG Duracleen. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, pantas kami tiga beradik menuju ke sana disertai YDP PIBG, Encik Najib Jabar & Ketua Kampung Sg Melayu, Tok Suzaidy. Terima kasih atas usaha PIBG membawa pasukan Duracleen ke Medini 🌹



Tak terluah rasa bersyukurnya aku akhirnya dapat melihat sendiri mimbar di depan mata. Kata orang, kalau dah suka,  semua tiada harga.. meski terpaksa bertongkat masuk ke ruang solat, ku gagahkan kaki melangkah. Kalah orang bercinta rasanya😅  Terima kasih Hajah Hazizah, En Hairul & Puan Bavani sudi melayani dan memenuhi keinginan ku. Tidur senyumlah aku malam ni! Salam kasih  sayang buat kalian 🥰








Tuesday, February 25, 2025

Cuba Try Test.. Sawit Rebus!

Masih terbayang dalam ingatan, rumah Atok di Senggarang, Batu Pahat yang  megah berdiri dilatari pokok kopi ketika aku kecil dahulu. Berkelana jauh dari kampung halaman, keluarga kami jarang berpeluang menghabiskan masa di desa dek kerana tuntutan tugas abah sebagai tentera.  Sesekali balik kampung, pastilah tak sama dengan membesar di sana. Bermain di bangsal kelapa, mengejar anak-anak ayam comel mungil keliling rumah pusaka, mengusik ibu ayam mengeram, berendam lama di dalam kolam.. aduhai . geleng kepala Atok melihat karenah kami yang pasti memeningkan kepala Atok bila sesekali bercuti di sana 😂

Seingat aku, ketika aku mula menjejakkan kaki ke USM, tanaman kopi Atok bertukar menjadi kelapa sawit.  Ketika itu, arwah abah dah pun bersara dan kami kembali menetap di Johor. Pun begitu, setiap kali pulang ke kampung aku tidak direzekikan melihat buah sawit secara dekat. Setiap kali rakan-rakan bercerita tentang enaknya buah sawit yang direbus atau dijadikan kuih bingka, aku tekun mendengar. Diam diam, jauh di sudut hati, aku menyimpan keinginan mencicip juadah yang dimaksudkan. Satu hari nanti.. pujuk hati kecilku, selalu.

Entah macamana, satu pagi ketika menikmati sarapan di kantin SMK Medini, melintas pula topik kelapa sawit sebagai tajuk perbualan ku dengan Hang Setia berdua itu. Aku pantas menyuarakan keinginan untuk mencuba sawit rebus yang selama ini hanya ku dengar ceritanya dari rakan-rakan! Hajah dan Encik Hairul tertawa cuma.. pelik barangkali dengan permintaanku. Namun akhirnya, saat itu tiba jua.. Tanpa ku duga, hajat ku dimakbulkan setelah sekian lama aku pendamkan. 

Satu hari, dalam perjalanan pulang dari Kg Sg Melayu, kereta yang dipandu En Hairul berhenti di birai jalan. En Hairul dan Phan Saliza membantu aku mengutip 7 biji buah sawit sebagai bekalan. Excited tak usah cakaplah! Dengan hati yang girang buah sawit ku bawa pulang.. Sampai je kat rumah, aku bersihkan dan rebus bersama garam mengikut pesan 'Chef 'Hairul 😂 Tak sempat sejuk, aku cuba sawit yang masih panas bersama Emak. Ternyata memang sedap rasanya! Momen itu menambah detik bersejarah dalam diari kehidupan ku. Alhamdulillah.. terima kasih Hajah Hazizah & Encik Hairul yang rajin melayan kerenah seorang Zahizan yang selalu curious dan ingin tahu.. Sayang kalian berdua! ❤️



Pesanku Buat Hati

Semenjak remaja, aku sering terkesan apabila mendengar kata-kata 'beribadahlah seolah-olah engkau akan mati esok hari dan bekerjalah seumpama engkau akan hidup seribu tahun lagi'. Frasa ini selalu menjentik hati agar sentiasa melaksanakan perkara terbaik tatkala melalui rutin kehidupan harian. Sebagai insan biasa yang serba sederhana, aku memang ada banyak kelemahan dan kekurangan. Usah ditanya apa kelebihan diri ini, kerana untuk menjawabnya pasti sukar sekali. Mungkin, lebihan berat badan je yang aku miliki 😂 

Arwah abah selalu berpesan agar tidak hanya mendongak ke langit, tetapi kena selalu tunduk melihat ke bumi ketika menyusun langkah agar tak tersadung tersalah tingkah. Emak pula sering mengingatkan, bila tangan kanan memberi, jangan sampai ke pengetahuan tangan kiri. Justeru, apa juga perbuatan atau amalan yang dilakukan tidak perlulah dicanang dan dihebahkan ke pengetahuan ramai. Niat hati biarlah ikhlas, buatlah kebaikan tanpa minta dibalas, biar kemas tersembunyi di sudut hati kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allahumma baarik!




Monday, February 24, 2025

Sandarkan Pada Kenangan

Seronok juga bila sesekali mengimbau pengalaman masa kecil bersama rakan-rakan. Dibesarkan di kem tentera, mungkin pengalaman masa kecil ku agak berbeza, tidak seperti mereka yang membesar di desa. Terus terang, aku tak pernah merasai pengalaman mandi sungai, memancing ikan di parit atau menjerat burung apatah lagi memanjat atau bergayut di dahan sambil menikmati manisnya buah-buahan di atas pokok. Terasa sedikit cemburu tatkala mendengar kisah kenakalan teman-teman yang lucu, indah dan mengasyikkan. Ada kala, terlopong juga mendengar betapa kreatifnya teman-teman menggunakan pelbagai sumber alam untuk mencipta permainan yang meninggalkan nostalgia zaman kanak-kanak mereka.

Terkesima sejenak apabila Hajah Hazizah dan  Encik Hairul rancak berkongsi kisah bermain meriam buluh sebagai satu acara mengisi kemeriahan bulan puasa semasa mereka membesar. Terpancar keseronokan di wajah masing-masing tika menerangkan proses menghasilkan meriam yang memeriahkan sambutan Ramadan dan Syawal. Seperti biasalah.. bertubi-tubi soalan aku utarakan dek kerana tak dapat membayangkan macamana rupa bentuk muka bumi meriam buluh sebenar-benarnya. Akhirnya sebaik sampai di rumah, aku terus bertanya pakcik Google dan terlihatlah rupa sebenar meriam buluh yang diceritakan itu. Tapi sekadar itulah.. tak dapat dibayangkan rupanya yang sebenar secara realiti 😂 

Apapun, terima kasih Hajah Hazizah dan Encik Hairul kerana selalu berkongsi kisah mereka dengan ku. Selain menonton kartun Upin Ipin yang menyajikan kisah kehidupan anak-anak desa, pengalaman yang diceritakan rakan-rakan juga menjadi kisah menarik untuk aku pelajari. Lain padang, lain belalang.. lain orang lain pula kisah dan pengalaman. Sudah pasti aku pun ada kisah zaman kecilku yang utuh, menjadi ingatan yang manis untuk ku jadikan kenangan dan ku sandarkan sebagai pedoman di masa hadapan.. 😊

Syafakillah Fii Amanillah

Memulakan minggu kedua persekolahan, hari ini aku direzekikan menziarahi seorang rakan sekerja yang dimasukkan ke hospital kerana serangan strok ringan (mild stroke) di Hospital Pontian. Sebaik menerima voice note menyatakan beliau dimasukkan ke hospital, segera aku mengajak kedua-dua sidekicks utama ~ Hajah Hazizah dan Encik Hairul untuk ke hospital sementara waktu melawat masih ada. 

Alhamdulillah, kami sempat menyantuni beliau yang dikhabarkan hilang deria rasa di bahagian tangan dan kaki secara tiba-tiba. Keputusan CT scan menunjukkan berlakunya sedikit pendarahan di bahagian otak sekaligus menjejaskan pergerakan. Yang agak memilukan, pada masa yang sama, kakak beliau turut ditempatkan di wad yang sama akibat strok dan kanser payudara. Semoga Allah mengurniakan syifa' dan keafiatan buat Penyelia Asrama SMed, Puan Zarina dan kakaknya, serta mempermudah segala urusan mereka serta keluarga. Mudah-mudahan mereka sabar dan cekal menerima ujian kesihatan ini dan dapat menempuhi dugaan yang diberi dengan tenang. Syafakillah.. 

Saturday, February 22, 2025

Sayang Sampai Syurga 🌹

Pantas sungguh masa berlari. Diam tak diam seminggu telah berlalu semenjak aku keluar bersama Kak Mai dan anak-anak gadisnya yang menginjak dewasa ~ Amirah (Along) dan Atiqah (Adik), minggu lalu. Hanya kami berempat mengukur jalan sementelah Hazirah (Angah) tidak dapat bersama kerana menghadiri kuliahnya. Anak-anak comel Kak Mai tidak asing denganku. Mengenali mereka semenjak di bangku sekolah, kesemua mereka sememangnya anak-anak yang baik, bijak dan santun menghormati orang tua.


Kerana itulah, awal pagi Sabtu, sebaik Kak Mai menghubungi mengajak aku keluar menghirup damai udara luar, hati terus berbunga riang. Along nak ajak Aunty Izan jenjalan.. katanya. Tanpa banyak bicara, aku pantas bersetuju. Maklumlah, hampir dua bulan ini duniaku hanya berkisar sekitar rumah, hospital dan sekolah.. Tubuh yang lemah automatik terasa bertenaga.. terus lenyap rengsa demam yang mula berputik sejak semalam 🫢 Dahsyat betul! 😂



Sepanjang jalan, pelbagai topik menjadi bualan. Lupakan sekejap hal sekolah dan tugasan yang membebankan fikiran. Derai tawa menjadi teman baik mengiringi perjalanan kami sehinggalah kami tiba di restoran Kopi Tenggek, Tanjung Piai. Selesai menjamah hidangan, kami meneruskan pengembaraan ke bandar Pontian sebelum meninjau jalan Kg Gunung Pulai dan berhenti Zohor di masjid berhampiran. Penerokaan jalan disambung seusai solat menuju ke Kulai dan kembali ke rumah melalui lebuh raya Pulai Jaya.



Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi menghadirkan aku sahabat yang sangat memahami dan saling berkongsi cerita dan rasa. Semoga Allah memanjangkan ukhuwah yang terbina dan mempermudah segala urusan kami semua. Ya Rahman, peliharalah semua sahabatku dan keluarga mereka. Lindungilah mereka semua dengan limpah kasihMu sehingga ke syurga.. Aamiin ya Mujiib.. Sesungguhnya kepadaMu sahaja aku sandarkan seluruh harapanku.. 🥹

Thursday, February 20, 2025

Relaks & Refleks

 Berada dalam kelompok orang ramai, menunggu giliran bertemu pakar perubatan sering menuntut kesabaran dan menguji perasaan. Melihat karenah manusia dengan pelbagai cerita kehidupan, memang menginsafkan. Setiap yang ditakdirkan berlaku dalam kanvas cerita berbeza, meski payah untuk ditelan, pasti ada yang boleh dijadikan pengajaran. Sementara menunggu nama dipanggil, adakalanya aku berpeluang berkenalan dengan pesakit lain dari pelbagai latar kehidupan. Seronok juga melayan bermacam kisah suka, duka, lucu serta jenaka dan mengambil iktibar daripadanya.


Ada seorang makcik yang sama-sama menunggu giliran, datang ke hospital sendiri tanpa ditemani warisnya. Sebak bercerita, makcik tersebut terpaksa menutup gerai nasi lemaknya dan kehilangan mata pencarian sejak dilanggar kereta semasa berjalan pulang dari kedai beberapa bulan lalu.  Melihat keadaan makcik yang berkerusi roda itu, timbul rasa insaf dan kagum bagaimana beliau mengharungi kesukaran bergerak bersendirian. Kedua-dua orang anaknya telah meninggal dunia menyebabkan beliau kini sebatang kara meneruskan kelangsungan kehidupan. Suami? Tidak tega pula aku bertanya. Biarlah beliau sahaja yang berkongsi cerita. Ketenangan raut wajah dan kejernihan air muka makcik tersebut menjentik rasa sayu di lubuk hati. Doaku, semoga Allah mempermudah urusan harian, melindungi dan merahmati kehidupan beliau.. 🥹

Tatkala menanti panggilan ke bilik rawatan, aku didekati seorang wanita muda yang menyorong kerusi roda anaknya dengan tangan dan kaki berbalut. Sekilas, aku terpandang tiga orang kanak-kanak kecil menuruti langkah beliau tanpa banyak bicara. Ramah ibu beranak tujuh itu bercerita. Anaknya patah tangan dan retak tulang kaki kerana terjatuh di tangga rumah flat yang didiami ketika balik dari sekolah. Tinggal di tingkat paling atas, beliau terpaksa mendukung anaknya yang cedera itu turun naik tingkat empat setiap kali mendapatkan rawatan. Kegigihan ibu tersebut mengurus anak-anak yang masih kecil benar-benar menyentuh perasan ku. Wajah cengkung yang redup itu tak mampu ku tatap lama-lama. Sarat kelopak mata menahan hujan turun di pipi. 

Banyak sebenarnya yang telah aku pelajari dari kisah kehidupan mereka yang aku temui. Dalam diam, aku syukuri segala nikmat yang Allah kurniakan kepadaku. Meski berdepan rintangan dan cabaran, ia tidaklah sesukar insan lain yang lebih besar dugaannya. Jika mereka tenang mendepani perit getirnya hakikat kehidupan, mengapa aku tidak bersyukur atas apa yang ditakdirkan Allah kepadaku? Terima kasih Allah kerana menyuntik keinsafan dalam kalbu ini. Hanya padaMu tempat kami berharap dan memohon perlindungan.. 

Wednesday, February 19, 2025

Semangat Yang Hilang

Setiap dua minggu, berpagi-pagian menghala ke Hospital Sultanah Aminah telah menjadi rutin yang dibiasakan dalam diari kehidupanku. Once in a blue moon, begitulah.. Lazimnya, selepas Subuh aku akan bersiap-siap menunggu kehadiran mereka yang sudi membawa ku mendapatkan rawatan. Sukar untuk ku jelaskan dengan perkataan, betapa aku resah kerana sentiasa mengharap ihsan insan-insan kesayangan.. Serba salah!

Hari ini, buat kali keempat aku ke HSA bertemu Pakar Ortopedik yang akan meneliti perkembangan pemulihan ku selepas pembedahan. Aku ditemani Puan Hajah Suliah, mantan PK Pentadbiran SMK Medini yang telah pun bersara daripada dunia pendidikan. Semenjak aku cedera, beliau adalah antara watak utama yang sering menawarkan diri membantu dalam banyak perkara. Tiada perkataan dapat menyatakan penghargaan ku kepada beliau dan takkan terbalas jasa baik beliau kepada ku sekeluarga atas budi baik yang diberikan. Terima kasih Kak Su.. semoga Allah memberi ganjaran dan melimpah luas rezeki Kak Su duniawi dan ukhrawi. Aamiin..

Kecewanyaaa! Itu sebenarnya rasa yang bergejolak dalam sanubari sebaik sesi pertemuan dengan doktor berakhir hari ini. Jangkitan kuman pada luka pembedahan agak serius dan merisaukan. Kata-kata Dr Mubin ketika memeriksa luka pembedahan tadi sememangnya mengocak ketenangan hati. Keadaan ini akan memperlahankan proses penyembuhan dan melambatkan pemulihan luka pembedahan. Berapa lama lagi agaknya aku akan sembuh? Persoalan yang bertimbal balik dalam kotak fikiran, ku ajukan kepada beliau mengharapkan jawapan yang menyenangkan. Beberapa bulan lagi.. jawapan doktor muda itu membenam jauh semangat yang cuba aku pasakkan dalam diri. Lamanyaaa...

Dengan langkah yang longlai dan harapan yang memudar, aku melangkah keluar dari hospital dengan impian yang kian layu. Nampaknya akan lama lagi aku memerlukan bahu untuk bersandar dan tangan untuk memimpin agar aku dapat melangkah gagah seperti sebelum ini. Wahai Allah Yang Maha Mengetahui.. bantulah aku bangkit menerima takdir yang ditentukan dengan hati yang damai. Berikan ketenangan untuk aku tangkis sukarnya ujian dan telan pahitnya cabaran kehidupan. Sesungguhnya hanya kepadaMu aku memohon pertolongan. Aamiin ya Rabbal Alamin.. 🥺




Monday, February 17, 2025

Bertukarrrr...!

Rasanya memang jarang benar aku mengemas kini status WhatsApp. Sesekali bila aku update status pun, kebanyakan masanya adalah untuk berkongsi aktiviti sekolah atau peristiwa penting yang berlaku. Sesekali, ada juga rakan yang sudi membalas atau meninggalkan komen untuk ku baca.

Baru-baru ini, aku menerima satu mesej daripada seorang kenalan sebaik sahaja aku muat naik poster kembali ke sekolah yang memaparkan pasukan pentadbir SMK Medini. Beliau bertanya kepadaku, siapakah gerangan Pengetua SMK Medini yang wajahnya kelihatan tidak asing pada kaca mata beliau. Aku lantas memperkenalkan diri sebagai Pengetua SMed. Berkali-kali rakanku bertanya, memohon kepastian siapa sebenarnya Pengetua SMK Medini? Jujur, aku menjawab 'sayalah' tapi beliau hanya tertawa dan meminta aku berkata benar. Aduhaiii.. sudahnya aku yang menggaru kepala .

Entahlah.. tak pasti apakah disebabkan sikap ku yang tidak kelihatan serius di mata, atau pembawakan diri yang santai (dan selamba) atau mungkinkah kerana aku kelihatan muda belia (aku pilih alasan ketiga ni lah 😆), rakanku tadi sukar menerima hakikat bahawa akulah orang yang dimaksudkan.. Ikut sukalah, cheq.. Tapi, sungguh! Sedikit sebanyak terkesan juga aku dengan insiden tu 🤣😅 Terdetik dalam hati.. nak kena ubah personaliti ke ni.. Adakah pasni aku kena mula berbicara serius dan belajar mengerut dahi? 🫢 Hmmm..



Selamat Berjuang!

17 Februari 2025 ~ permulaan sesi persekolahan 2025 yang ceria. Kehadiran anak-anak disambut mesra oleh para guru disertai oleh Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Hazwan bin Mohd Amin dari Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Iskandar Puteri. Alhamdulillah semua berjalan lancar. Anak-anak melangkah penuh semangat dan menyertai pelbagai aktiviti yang disusun untuk mereka dengan kesungguhan. Semoga terus istiqomah anak-anakku! Doa kami sentiasa bersama kalian hingga ke garisan akhir nanti.. Aamiin 🌹



Saturday, February 15, 2025

Pertemuan Yang Dinanti

Esok anak-anak tingkatan 1 SMK Medini akan memulakan langkah pertama di sekolah menengah sebaik mereka mendaftar di Dewan Iskandar, SMed. Begitu juga anak-anak yang bakal menghuni asrama Dato' Onn dan Ibu Zain, selamat datang kami ucapkan. Semoga anak-anak dapat menyesuaikan diri, menjadi anak yang baik lagi cerdik yang membahagiakan ibu ayah masing-masing.


 Buat anak-anak Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5, selamat menyambung perjuangan menuntut ilmu di bumi Medini. Semoga anak-anak terus cemerlang dan gembira menelusuri perjuangan fisabilillah dengan jayanya. Salam penuh kasih sayang daripada Bonda buat anakanda semua 🌹

Ke Garisan.. Sedia.. Mula!

Sekejap je masa berlalu.. pejam celik.. pejam celik cuti sekolah dah pun hampir menuju ke garis penamat. Bersama barisan SLT & MLT yang komited, aku turut bersama menyertai siri perbincangan merancang pelaksanaan pengisian pembukaan sekolah yang bakal bermula minggu hadapan. Sebagaimana kelaziman, mesyuarat awal sesi 2025 membuka tirai pertemuan bersama rakan-rakan guru setelah hampir sebulan mereka bercuti. Meski masih dalam cuti sakit, aku turut sama hadir menyertai pasukan Medini  merancang pelaksanaan program khasnya minggu pertama persekolahan nanti. 





Kehadiran 6 orang guru baharu menggantikan 5 orang sahabat yang berjaya dalam permohonan pertukaran (Ckg Maria, Ckg Iqhman, Ckg Mahherah, Ckg Balqis & Ckg Guliah) sedikit sebanyak melegakan keresahan. Benarlah, patah tumbuh hilang berganti.. namun pasti tidak akan sama dengan yang pergi. Doaku semoga rakan-rakan yang berpindah akan terus melakar kecemerlangan walau di mana mereka ditugaskan. Buat adik-adik yang baharu menyertai keluarga besar Medini (Ustaz Syafiq, Ckg Fahim, Ckg Nabella, Ckg Syaza, Ckg Manisah & Ckg Nadia), Ahlan Wasahlan dan selamat bertugas di SMK Medini. Semoga kita sama-sama berusaha menggalas tanggungjawab sebaiknya demi memacu kecemerlangan anak-anak Medini yang dikasihi. 

Selamat menjalankan amanah yang diberi buat semua warga kerja SMed. Semoga kita dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat melaksanakan tugas sebaiknya dan mudah-mudahan segala urusan kita dipermudah olehNya. Aamiin ya Rabbal Alamin.. 🌹

#Medinidihati ❤️ 
#TerokaiUntukTerajui
#TunaiTetapKamiTunaikan