Saturday, February 8, 2025

Hangatnya Rindu

Semenjak bercuti sakit, aku menerima kunjungan ramai tetamu. Kesudian saudara mara dan sahabat handai menziarahi serta bertanya khabar memang amat menyentuh perasan. Kehadiran mereka menyuntik semangat di samping mendorong aku pulih memberi impak yang bukan sedikit. Ku akui, sedikit sebanyak sebaik melihat wajah-wajah kesayangan secara nyata, keinginan ku untuk kembali sembuh akan terus menyala dan membara.


Hari ini, aku dikejutkan dengan kehadiran Rushima & Fatihah serta ahli keluarga masing-masing yang meriah bertandang ke teratak ku.  Kehadiran Rushima yang telah berpindah ke Kuantan Jun 2024 yang lalu benar-benar mengejutkan. Datang dari jauh semata-mata menziarahi ku memang amat menyentuh nurani.


Seusai maghrib pula, suasana sepi berubah 360° sebaik YDP PIBG SMK Medini, Encik Mohd Najib dan isteri hadir bersama AJK PIBG (Puan Mazlina, Puan Iezan dan Puan Aida). Riuh rendah dengan gurauan dan gelak ketawa, hatiku terhibur dengan celoteh dan keletah mereka yang santai sambil bersantap juadah enak yang dibawa untuk dinikmati bersama. 


Alhamdulillah, syukur ku panjatkan kepada Allah SWT kerana kurniaan rezeki dikelilingi saudara mara, sahabat handai dan rakan taulan yang sentiasa menziarahi dan memberi sokongan untuk aku terus berdiri dan berlari dalam kehidupan. Ramai lagi yang datang tapi tidak sempat ku potretkan gambar di sini tapi kenangan bersama mereka tak pernah luput dari kotak ingatanku. Terima kasih sayang buat semua dan semoga Allah memberkati kehidupan kalian dunia akhirat. Mmmuaaahhhh 💋

No comments: