Berada dalam kelompok orang ramai, menunggu giliran bertemu pakar perubatan sering menuntut kesabaran dan menguji perasaan. Melihat karenah manusia dengan pelbagai cerita kehidupan, memang menginsafkan. Setiap yang ditakdirkan berlaku dalam kanvas cerita berbeza, meski payah untuk ditelan, pasti ada yang boleh dijadikan pengajaran. Sementara menunggu nama dipanggil, adakalanya aku berpeluang berkenalan dengan pesakit lain dari pelbagai latar kehidupan. Seronok juga melayan bermacam kisah suka, duka, lucu serta jenaka dan mengambil iktibar daripadanya.
Ada seorang makcik yang sama-sama menunggu giliran, datang ke hospital sendiri tanpa ditemani warisnya. Sebak bercerita, makcik tersebut terpaksa menutup gerai nasi lemaknya dan kehilangan mata pencarian sejak dilanggar kereta semasa berjalan pulang dari kedai beberapa bulan lalu. Melihat keadaan makcik yang berkerusi roda itu, timbul rasa insaf dan kagum bagaimana beliau mengharungi kesukaran bergerak bersendirian. Kedua-dua orang anaknya telah meninggal dunia menyebabkan beliau kini sebatang kara meneruskan kelangsungan kehidupan. Suami? Tidak tega pula aku bertanya. Biarlah beliau sahaja yang berkongsi cerita. Ketenangan raut wajah dan kejernihan air muka makcik tersebut menjentik rasa sayu di lubuk hati. Doaku, semoga Allah mempermudah urusan harian, melindungi dan merahmati kehidupan beliau.. 🥹
Tatkala menanti panggilan ke bilik rawatan, aku didekati seorang wanita muda yang menyorong kerusi roda anaknya dengan tangan dan kaki berbalut. Sekilas, aku terpandang tiga orang kanak-kanak kecil menuruti langkah beliau tanpa banyak bicara. Ramah ibu beranak tujuh itu bercerita. Anaknya patah tangan dan retak tulang kaki kerana terjatuh di tangga rumah flat yang didiami ketika balik dari sekolah. Tinggal di tingkat paling atas, beliau terpaksa mendukung anaknya yang cedera itu turun naik tingkat empat setiap kali mendapatkan rawatan. Kegigihan ibu tersebut mengurus anak-anak yang masih kecil benar-benar menyentuh perasan ku. Wajah cengkung yang redup itu tak mampu ku tatap lama-lama. Sarat kelopak mata menahan hujan turun di pipi.
Banyak sebenarnya yang telah aku pelajari dari kisah kehidupan mereka yang aku temui. Dalam diam, aku syukuri segala nikmat yang Allah kurniakan kepadaku. Meski berdepan rintangan dan cabaran, ia tidaklah sesukar insan lain yang lebih besar dugaannya. Jika mereka tenang mendepani perit getirnya hakikat kehidupan, mengapa aku tidak bersyukur atas apa yang ditakdirkan Allah kepadaku? Terima kasih Allah kerana menyuntik keinsafan dalam kalbu ini. Hanya padaMu tempat kami berharap dan memohon perlindungan..
No comments:
Post a Comment