Hari ini, buat kali keempat aku ke HSA bertemu Pakar Ortopedik yang akan meneliti perkembangan pemulihan ku selepas pembedahan. Aku ditemani Puan Hajah Suliah, mantan PK Pentadbiran SMK Medini yang telah pun bersara daripada dunia pendidikan. Semenjak aku cedera, beliau adalah antara watak utama yang sering menawarkan diri membantu dalam banyak perkara. Tiada perkataan dapat menyatakan penghargaan ku kepada beliau dan takkan terbalas jasa baik beliau kepada ku sekeluarga atas budi baik yang diberikan. Terima kasih Kak Su.. semoga Allah memberi ganjaran dan melimpah luas rezeki Kak Su duniawi dan ukhrawi. Aamiin..
Kecewanyaaa! Itu sebenarnya rasa yang bergejolak dalam sanubari sebaik sesi pertemuan dengan doktor berakhir hari ini. Jangkitan kuman pada luka pembedahan agak serius dan merisaukan. Kata-kata Dr Mubin ketika memeriksa luka pembedahan tadi sememangnya mengocak ketenangan hati. Keadaan ini akan memperlahankan proses penyembuhan dan melambatkan pemulihan luka pembedahan. Berapa lama lagi agaknya aku akan sembuh? Persoalan yang bertimbal balik dalam kotak fikiran, ku ajukan kepada beliau mengharapkan jawapan yang menyenangkan. Beberapa bulan lagi.. jawapan doktor muda itu membenam jauh semangat yang cuba aku pasakkan dalam diri. Lamanyaaa...
Dengan langkah yang longlai dan harapan yang memudar, aku melangkah keluar dari hospital dengan impian yang kian layu. Nampaknya akan lama lagi aku memerlukan bahu untuk bersandar dan tangan untuk memimpin agar aku dapat melangkah gagah seperti sebelum ini. Wahai Allah Yang Maha Mengetahui.. bantulah aku bangkit menerima takdir yang ditentukan dengan hati yang damai. Berikan ketenangan untuk aku tangkis sukarnya ujian dan telan pahitnya cabaran kehidupan. Sesungguhnya hanya kepadaMu aku memohon pertolongan. Aamiin ya Rabbal Alamin.. 🥺
No comments:
Post a Comment