Tuesday, February 25, 2025

Pesanku Buat Hati

Semenjak remaja, aku sering terkesan apabila mendengar kata-kata 'beribadahlah seolah-olah engkau akan mati esok hari dan bekerjalah seumpama engkau akan hidup seribu tahun lagi'. Frasa ini selalu menjentik hati agar sentiasa melaksanakan perkara terbaik tatkala melalui rutin kehidupan harian. Sebagai insan biasa yang serba sederhana, aku memang ada banyak kelemahan dan kekurangan. Usah ditanya apa kelebihan diri ini, kerana untuk menjawabnya pasti sukar sekali. Mungkin, lebihan berat badan je yang aku miliki 😂 

Arwah abah selalu berpesan agar tidak hanya mendongak ke langit, tetapi kena selalu tunduk melihat ke bumi ketika menyusun langkah agar tak tersadung tersalah tingkah. Emak pula sering mengingatkan, bila tangan kanan memberi, jangan sampai ke pengetahuan tangan kiri. Justeru, apa juga perbuatan atau amalan yang dilakukan tidak perlulah dicanang dan dihebahkan ke pengetahuan ramai. Niat hati biarlah ikhlas, buatlah kebaikan tanpa minta dibalas, biar kemas tersembunyi di sudut hati kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allahumma baarik!




No comments: