Saturday, May 29, 2010

Dalam Hati Ada Cinta?

  • Andai kata cinta itu adalah sebuah pengorbanan, mengapa pengorbanan itu bukan nokhtah sebuah cinta? Andai kata derita itu adalah harga sebuah cinta, mengapa cinta itu semakin sukar dimiliki? Cinta seumpama kotak kristal yang indah pada penglihatan tapi derita pada perasaan.

  • Ada orang pada mulanya malu untuk jatuh cinta, tapi apabila perasaan rindu itu datang, tiba-tiba perasaan malu itu menjadi hilang dengan sendirinya dan akhirnya terpaksa menerima kenyataan yang sebenarnya bahawa dia telah jatuh cinta.

  • Gerak geri seringkali memberi pengertian kepada perasaan yang tidak terucap oleh kata-kata.

  • Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali. Hati yang remuk akan kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada.

  • Cinta yang datang umpama pelangi ceria dengan tujuh warna memukau saat bayu berlagu riang, ketika itulah cinta itu hadir - apabila hati merasai kehadiran seseorang yang bakal mewarnai kehidupan.

  • Cinta bukan paksaan. Ia lahir dari dua perasaan, kehadirannya tidak diundang dan perginya tiada yang merelakan kerana ia terlalu sukar untuk dimengertikan.

  • Persahabatan biasanya berakhir dengan percintaan tetapi percintaan tidak pernah berakhir dengan persahabatan.

  • Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar menghinakan diri tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan semangat.

  • Apakah sebenarnya cinta? Tak lain tak bukan ialah dua jiwa dalam satu fikiran dan dua hati dalam satu debaran.

  • Cetusan cinta pertama merupakan suatu getaran yg sangat menggoncangkan jiwa.

  • Kadangkala kita menyedari betapa dalamnya kita menyintai seseorang disaat-saat kita sedang kehilangannya. Kadangkala kita juga menyedari betapa perlunya cinta seseorang terhadap kita, disaat-saat kita amat memerlukannya.

  • Cinta yang lahir dari pandang pertama adalah cinta suci, manakala perasaan cinta yang lahir dari kemesraan persahabatan adalah cinta sejati. Namun sukar untuk membezakan yg mana lebih abadi, cinta suci atau cinta sejati.


(Sumber : S.A. 2009)

Friday, May 28, 2010

Menambat Rakit

Aku pun x ingat semenjak bila aku jatuh cinta dgn sajak, syair, gurindam, puisi dan segala2 yg sewaktu dengannya... tak kira la, asal je ada sangkut paut ngan sastera... Padahal asal usulnya dulu aku ni dari aliran sains tulen. Bertambah2 lagi minat aku bila aku join Kelab Sastera USM (jadik Setiausaha Agung lak tuuu hehe...) Kenangan tu barangkali asbab aku terpana dengan kemerduan lenggok suara Encik Ahmad Kamal Idris (AKI) K3 melagukan MESTAMU (Melagukan Puisi Tanpa Muzik) bertajuk 'Aku Berkolek & Aku Bersajak' semasa sambutan Hari Guru peringkat IAB tempohari yg amat-amat menyentuh perasaan. Terkenang aku keindahan dan kesyahduan lagu-lagu puisi dendangan Kopratasa dan Ahmad Ramli yang pernah memenuhi diari hidupku satu ketika dulu (especially masa aku dok 'frust tergolek' dek kerana cinta yg kecundang di tengah jalan... huhu) Bagi aku, lagu-lagu puisi ni memang menarik kerana ritmanya yg sedap didengar, alunan melodinya yg menawan sukma dengan lirik yang penuh makna dan pengertian, memberi kesan yang amat mendalam. Yang paling melekat di sanubari ialah puisi nukilan Sasterawan Negara tersohor, Datuk A. Samad Said (1985) ini. Kenapa? Cuba hayati bait2 kata yang dinukilkan... Indah, kan?

Monday, May 24, 2010

Jangan Pandang Belakang

Pejam.. celik.. pejam.. celik.. kalendar NPQEL semakin hampir menuju penghujungnya. Hari ni merupakan permulaan kepada Fasa Berterusan - fasa terakhir sebelum kami melangkah keluar dari bangunan Sri Layang, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia ni mengikut haluan masing2. Walaupun aku dan kengkawan K4 bakal meneruskan legasi ke Institut Pengajian Kepengetuaan, Universiti Malaya Julai nanti, bahang perpisahan turut dirasai apatah lagi beberapa rakan terpaksa berundur diri atas alasan peribadi. Fasa terakhir bermula pagi ni dgn kuliah yg sangat menyeronokkan. Tajuk Protokol dan Etiket Sosial kendalian Encik Rusli Wahab mampu menggamatkan dan menghidupkan suasana pagi dengan penuh keceriaan. Gelak tawa menghiasi hening pagi menemani pembelajaran, tanpa sempat menitipkan walau sekelumit rasa jemu di bilik kuliah L420. Tak kering gusi kami dibuatnya sepanjang sesi bersama Encik Rusli, teori yg disampaikan seiring simulasi yang diberi 'melekat' kuat dalam kotak ingatan. Sesekali kelas agak terganggu dgn bunyi batuk ku yang masih teruk tuuu hehe... Sori la yea, kengkawan... (Malu juga aku sebenarnya tapi nak wat camane..?) Selain penting utk exam, pengisian hari ni sememangnya sangat membantu untuk kami mengendalikan program kelolaan sekolah kelak... Sepanjang minggu ni kitorg akan terus mendalami tajuk yg sama sebelum dibenarkan 'cuti' seminggu. Lepas tu, kitorang akan berganding tenaga pulak menjayakan Program Khidmat Masyarakat di perkampungan orang asli kat Changkat Bintang, Slim River selama 3 hari 2 malam. Ini merupakan satu lagi program anjuran NPQEL yang sudah pastinya memerlukan semangat kerja berpasukan yang tinggi dan komitmen jitu dari segenap ahli Kohort 2/2009. Bagi kumpulan K3 yg dahpun selamat menjejakkan kaki di IAB Jitra, selamat meneruskan perjuangan diucapkan. Dengar kata 'port' makan2 kat sana memang best.. Apapun, selamat maju jaya diucapkan kepada kengkawan semua. Sama2 la kita buat yg terbaik sehingga ke detik terakhir kita di sini. Teruskan perjuangan & jangan pandang belakang!!!

Monday, May 17, 2010

Di Muara Sepi


Minggu ni merupakan minggu yang agak sibuk buat aku. Dengan peperiksaan Fasa Khas yg baru je berlalu, ditambah pulak latihan koir, Hi-Tea di Awana, Program Menghijaukan IAB dan segala macam persediaan yang direncanakan khusus untuk meraikan Hari Guru yg buat julung kalinya dijalankan di bumi IAB, kesibukan seolah-olah jadik peneman setia aku di sini. Memandangkan 16 Mei jatuh pada hujung minggu, 'roh' Hari Guru seakan2 kurang dirasai di bumi IAB ni. Menyambut Hari Guru tanpa dikelilingi rakan2 seperjuangan dan anak2 didik meraikan memang menggamit kesedihan yg bukan sedikit. Namun ingatan ikhlas daripada mereka yg masih mengingati dan ungkapan tulus anak2 didik mengubati kedukaan di perantauan. Tanpa sedar, air mata mengalir laju membasahi pipi semenjak dinihari mula menjengukkan diri lagi... Terima kasih atas ingatan ikhlas kalian... Terasa diri aku masih diingati dan disayangi meski diri ini terjarak oleh masa dan keadaan... sungguh!

Antara sibuk dan senggang, antara sempit dan lapang, masih sempat lagi aku menjengah ke 'muka buku' rakan akrab yg tak jemu2 berkongsi nukilan suara alam menerusi lensa kameranya (yg makin canggih tentunya!) Di celah-celah kesibukan rutin harian yg dilalui, sahabat setiaku nan seorang itu - Dr Ismail Talib (add la beliau kat FB hehe... promosi niiiii) masih berkesempatan merakamkan panorama indah yg memukau pandangan. Lokasi pilihan beliau adalah Taman Negara Endau-Rompin yg kaya dengan flora dan fauna beraneka. Menatap panorama indah muara sungai memang amat mengasyikkan. Di telinga ni pun terus terngiang2 irama desiran air yg mendendangkan melodi ketenangan... Mengusik keresahan yg lama bertapak dalam gelora jiwa yang kacau dan menyentap sendu mencari damai yg hilang... Hmmm... jiwangkah aku? Mungkin tidakkkk... :)

Saturday, May 15, 2010

Guru oh Guru

Selamat Hari Guru



16 Mei merupakan tarikh istimewa bagi setiap insan bergelar GURU. Justeru, di kesempatan yang terbatas ini, ingin aku dedikasikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga buat semua warga pendidik khasnya semua guru yang telah mengajar, membimbing dan mendidikku semenjak dari saat mula aku melangkahkan kaki ke alam persekolahan hinggalah aku juga menyandang gelaran yang sama kini. Jasa cikgu-cikgu sekelian tidak ternilai harganya dan akan sentiasa ku kenang selagi hayat di kandung badan.
TERIMA KASIH CIKGU...!

Friday, May 14, 2010

Get Well Soon!

Banyak-banyak tempat, aku paling 'lomah' kalau terpaksa ke rumah sakit mendapatkan rawatan. Aroma ubat-ubatan klinik dan hospital selalu je menimbulkan perasaan 'pelik' dan menyebabkan jantung aku berdegup pantas. Tambah2 lagi kalau kat klinik gigi... aduiii ngerinyaaaa! Yang heran tu, keadaannya memang tak sama bila aku ke sana sebagai pengiring bagi orang lain mendapatkan rawatan atau pun bermalam menemani org sakit kat wad. Asalkan tiba time aku yg mendapatkan rawatan, sekujur tubuh ni terasa seram sejuk tak terkira. Agaknya sebab tu la aku tak layak jadik doktor kot... hehe (alasan!). Berbaldi-baldi peluh terbit dek kerana menahan perasaan yang tak tentu hala tu. Dahsyat, kan? Namun, sejak akhir-akhir ni, aku kerap 'melawat' tempat yg paling aku elakkan selama ni. Nak buat camane, bila dah badan tak sihat... suka tak suka, nak tak nak terpaksa la aku menjejak ke sana. Nak baik punya pasal.. Semasa entri ni aku nukilkan, seorang sahabatku sedang bertarung melawan kesakitan akibat kecederaan tulang belakang (harap2 tak la serius keadaannya). Doaku semoga beliau akan kembali sembuh seperti sediakala dan sentiasa dilimpahi ceria dan sejahtera sepanjang masa. Jangan lupa makan ubat yea..! Sebagai perkongsian bersama, di sini aku kongsikan hikmah jika bersabar menghadapi kesakitan utk kita renung-renungkan :

  • Sakit menjadi kebaikan bagi seorang muslim jika kita bersabar.
  • Sakit akan menghapuskan dosa.
  • Sakit akan membawa keselamatan dari api neraka.
  • Sakit akan mengingatkan hamba atas kelalaiannya.
  • Terdapat hikmah yang banyak di balik berbagai musibah.
  • Musibah terasa ringan dengan mengingat penderitaan yang dialami orang lain.
  • Beroleh pahala jika kita bersabar menghadapi ujian yang diberikan.

TAKE CARE!!!

Tuesday, May 11, 2010

Senjakala

Sebaik senja melabuhkan tirai, tabir malam pun mula tersingkap. Sang unggas berterbangan pulang ke sarang sambil melagukan melodi riang. Tiada lagi sinar suria dan pelangi indah pun mula menyembunyikan wajah. Mentari mula tergelincir dari singgahsananya yang agung dan panorama alam turut bertukar warna. Rona jingga kirmizi senja kian melatari alam yang mula berubah rupa. Keindahan pemandangan waktu senjakala di saat berlakunya pertukaran masa tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Terpempan aku tatkala menyaksikan potret alam, 'buah tangan' sahabatku Dr. Ismail Talib petang ni.. Terkenang aku saat menyaksikan indahnya mentari mengundurkan diri dan membenamkan wajahnya di balik gumpalan awan ketika senjakala mula berlabuh tenang. Lambaian mentari yang merengkuh duka menyebakkan hati sang nelayan nestapa yang pulang dari lautan. Rembulan muncul sayup-sayup di dada langit menemani sang pungguk yang setia mendendangkan irama kerinduan yang tak bertepi. Alangkah syahdu, alangkah damainya saat itu... membuatkan hati meruntun kesedihan dan digigit kepiluan. Isk.. kenapa sebak benar rasa hati aku ni...? Hmmm... dah datang dah jiwang tahap gaban aku ni... Nak buat camane yea? ;)

Si Kunang-Kunang

Malam tadi memang terasa dingin dan suram. Memandangkan kekangan mendapatkan lokasi sesuai, latihan koir NPQEL terpaksa aku tangguhkan ke malam esok. Melayan badan yang masih keletihan dek perjalanan yang jauh semalam, aku lepak-lepak je kat bilik sambil membalas emel serta mesej-mesej daripada rakan-rakan dan anak-anak murid yang sentiasa dekat di hati. Sebaik je melabuhkan diri kat birai katil, tetiba mataku tertancap kepada sepasang kunangkunang yang tengah asyik dengan cahaya kalimantang di beranda luar. Tak semena-mena pulak lagu ni terngiang-ngiang kat telinga dan mengusik memori silam yang dah kian jauh aku tinggalkan. Terasa seolah-olah ada korelasi antara lagu tu dengan diriku sendirik... Asyik betul aku melayan karenah si kunang-kunang yang santai menari-nari sampai akhirnya aku hanyut dibuai mimpi dan akhirnya aku terjaga bila jam loceng menjerit tak henti-henti... Apalagi, terpaksa la aku bangkit bersiap mengadap Illahi dan bersedia menunaikan amanah yg menanti... Allahu Akbar!!!


Friday, May 7, 2010

Terjemahan & Interpretasi


Cendikiawan terdahulu ada mengatakan bahawa sekeping gambar boleh menceritakan 1001 kisah tersembunyi... Bagi aku, cerita yang diinterpretasikan setiap orang pastinya mempunyai pelbagai versi dan variasi. Melodinya berlainan nada, rentak dan ritma pun pasti berbeza. Almaklum sajalah... sekeping potret yang bisu mana mungkin dapat menjawab berjuta persoalan yang belum tentu sahih dan palsunya... Apapun, aku memang suka merenung dan menginterpretasi gambar2 yg ada di depan mata mengikut olahan, gaya dan laras bahasa aku yg tersendiri. Prinsip aku mudah... setiap ceritera yg dihikayatkan pasti ada dua sisi yang tersurat dan tersirat. Jadi.. ikut suka hati aku la nak melihat dari perspektif mana asalkan aku tak terluka, diluka dan melukakan... Ada kena mengena tak dgn tajuk entri yg aku letakkan kat atas tu? Mungkin tidakkkk... Tapi sape pedulik kan? Ikut suka ati aku laaaaa... hehehe ;)

Monday, May 3, 2010

Tinggal Tanda Tanya..

Tercari-cari.. ternanti-nanti.. tertanya-tanya.. terpinga-pinga.. ke mana menghilangnya dia? Sahabat yang aku temui lewat Program Sandaran lebih sepurnama yang lalu. Meski tak pernah bersua di alam nyata, sekadar berbicara tanpa suara di ruang maya yg bisu dan kaku.. kehadirannya berjaya mengisi diari hidupku. Keprihatinannya dan nasihat2 yg diberi memang membekas di hati. Justeru, bila jejaknya seolah-olah lenyap dihembus semilir senja bersama arus masa yang begitu pantas berlari, duniaku terasa kontang dan sepi. Tiada lagi sapaan di pagi hari, kata2 perangsang penuh berapi, nasihat2 pembakar semangat diri dan jenaka lucu mencuit hati.. Apapun, jalinan persahabatan ikhlas ini amat aku hargai. Semoga di bumi manapun sahabatku berpijak, di bawah langit manapun dia bernaung, kesejahteraan dan kejayaan sentiasa mengiringi setiap derap langkahnya dan kebahagiaan sentiasa di sisinya sampai bila-bila... Amin...

Saturday, May 1, 2010

Rembulan di Langit Hati

Selalunya, bila malam melabuhkan tirai dan mentari mula beradu, perasaan syahdu membuak-buak datang bertamu dengan sendirinya. Kesibukan menjalani rutin harian kat sini tak dapat mengubat perasaan sayu yg sesekali bertandang menemani malamku yang panjang. Sorotan lensa kamera sahabat setia yang gigih merakamkan wajah purnama yang jelas menampakkan diri, memang mencuri hati... Wajah sang rembulan yang begitu indah dan mengasyikkan acapkali membuatkan aku terkesima seketika. Cahaya gemintang yang menyimbah bumi menerangi kepekatan malam membuatkan hati rasa teruja dan bahagia. Konotasi indah tentang sang purnama sering bertimbal balik, membuatkan jiwa berfikir sejenak tentang kehebatan Rabbul Izzati, pemilik seisi buana. Jarang benar aku dapat menatap kecantikan bulan kat sini apatah lagi bila malam diselimuti kabus tebal dan ditemani rasa sejuk yg menggigit sampai ke tulang. Terdetik rasa cemburu melihatkan wajah purnama dipotretkan pelbagai cara oleh sahabatku, Dr. Ismail. Alangkah bertuahnya mereka yang berkesempatan menikmati kecantikan sinar rembulan yg memancarkan kemilau keemasan, menghiasi dada langit malam... Indahnya alam...