Monday, March 28, 2011

Rumah Kasih Harmoni


Wajah anak2 itu ceria.. Tersungging senyum manis yang dilemparkan tatkala menyambut kedatangan kami pada pagi Sabtu, 26 Mac 2011 yang ceria itu. Dari raut wajah mereka yang tidak berdosa, jelas terpamer kegembiraan apabila dilawati oleh kumpulan mahasiswa Sarjana Kepengetuaan, IKP seramai lebih 40 orang. Kehadiran rombongan bersama Pengarah IKP dan ADUN Paya Jaras, YB Dato' Ir. Muhammad Bushro bin Mat Johor menambahkan lagi keceriaan yang bertamu. Namun, di sebalik senyuman dan jernih bebola mata mereka yang aku tatap satu per satu itu, jelas terpapar raut kesayuan dan kesedihan dalam diri mereka. Rumah Kasih Harmoni ~ rumah anak yatim dan asnaf yang terletak di Kampung Paya Jaras, Sg Buloh Selangor itu diuruskan oleh seorang anak muda bernama Encik Jamaludin Abu Bakar. Sentiasa melemparkan senyuman kepada semua, anak muda ini tabah menguruskan dan menghadapi pelbagai karenah seramai 67 orang anak2 berusia 3 hingga 16 tahun di rumah ini dengan bantuan beberapa orang staf yang merupakan sukarelawan. Menghabiskan masa seharian bersama anak2 kecil ini, hati diruntun kesayuan yang tidak terbendung melihat anak2 ini ketawa dan bergembira bersama kami lewat aktiviti yang disertai. Pegangan erat tangan Iman (3 tahun), Era (6 tahun) dan Along Akmal (6 tahun) yang setia 'mengekori' ke mana saja aku pergi petang itu, masih hangat aku rasakan. Tawa manja dan keletah mereka terngiang2 di telinga dan menari2 di birai mata.. Lukisan2 mural yang terlakar di dinding asrama adalah antara kenangan yang dipahatkan sebagai kenang2an buat anak2 kecil itu tanda kami pernah bersama mereka meskipun hanya seketika. Buat anak2 ku di Rumah Kasih Harmoni, akan ku titipkan doa kebahagiaan, kesejahteraan dan kejayaan buat kalian setiap hari dari kejauhan ini. Buat Encik Jamaludin, Kak Ina, Encik Azam dan semua staf Rumah Kasih Harmoni, doa kami sentiasa mengiringi usaha murni kalian mendidik dan membesarkan anak2 yang tidak berdosa ini menjadi insan berguna dan diredhai Ilahi selamanya. Rumah Kasih Harmoni ~ kenangan diabadikan sebagai ingatan sepanjang zaman... Salam kasih buat semua..!

No comments: