Monday, March 31, 2025

Catatan Raya Pertama

Meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan yang masih belum boleh berjalan dan menapak dengan betul sebenarnya agak melelahkan. Tambahan pula, aku merupakan watak utama setiap kali persiapan menjelang lebaran dilaksanakan. Ke sana ke mari menyiapkan keperluan Syawal memang menjadi rutin yang selama ini tidak pernah diambil alih orang lain. Tukang pergi kedai, menyiapkan bahan mentah masakan, memasak, mengemas dan menyusun barangan seisi rumah.. Semua tu adalah kerja hakiki yang dipertanggungjawab kepadaku.

Namun, dek kerana kecederaan kaki ku masih belum sembuh, aku terpaksa bertahan tatkala jiwa meronta ingin turut serta dalam pelbagai proses menyediakan keperluan sambutan Aidilfitri.. Sedih hati tak payah cakaplah! Bayangkan tukang masak hilang periuk belanga, senduk dan sudipnya! Jemmm.. Melihat tingkah adik-adik ipar yang saling membantu, terasa tak puas bila tak dapat bersilat sepenuhnya di dapur. Setakat buka bunga silat pun aku tak daya apatah lagi membuka langkah pendekar 🥺 Aduhaiiii.. lamanya kakiku ni nak baik! Dek kerana tak berapa sabar, malam tadi aku gagahkan kaki naik ke tingkat atas mengambil dan mengurus pakaian ku sendiri! Meski pun terpaksa mengengsot mendaki tangga, sebaik tubuh berjaya ke anak tangga terakhir hatiku rasa puas sekali! Berjaya! Rasa macam berjaya menawan Gunung Kinabalu pun ada 🤣


Pagi tadi, bila seisi rumah ke Surau Nurussalam mendirikan solat sunat Aidilfitri, aku termenung seorang diri. Nak menyiapkan juadah pun aku tak mampu.. Alangkah hibanya hati. Lebih syahdu apabila terkenang arwah abah, Abang Sham dan Mie yang terlebih dahulu dijemput pulang ke negeri abadi. Kalaulah Abang masih ada, mesti meriah kami bersiap menuju ke bumi Darul Khusus, kampung halaman Abang. Menghela nafas panjang, ku simpan semua memori dalam ingatan.. Kenang yang manis-manis. Yang tak berapa manis tu, biarlah aku jadikan sempadan kehidupan. 




Esok, aku bakal ditinggalkan sendirian sementelah semua orang nak pulang ke Batu Pahat menziarah dan menjengah laman keluarga ibu bapa saudaraku sebelah abah dan emak. Sejujurnya, memang sayu terasa sebab selalunya akulah yang memandu emak ke mana-mana destinasi. Kali ni memang aku tewas dengan hakikat yang perlu aku depani dengan berani. Terbayang wajah-wajah berseri saudara mara menyambut kehadiran kami. Haishhh.. Duduk diam-diam ya Zan.. bisik hati memujuk diri sendiri. Semoga Allah rezekikan aku untuk kembali sihat dan boleh kembali berjalan pada Aidiladha nanti. Aamiin.. 🥰


Salam lebaran buat semua. Doakan aku segera pulih seperti sediakala ye.. Mana tahu ada doa-doa mustajab kalian yang diangkat tanpa hijab. InsyaAllah, raya ini kita sambut mengikut kemampuan dan kekuatan diri sendiri. Tetiba terfikir pulak nak pakai baju apa ye pada sambutan Aidilfitri  Medini pada 18/4 nanti.? Baju raya pun aku tak beli tahun ni.. Dah jom jengah TikTok untuk membeli.. hihi..

Sunday, March 30, 2025

Salam Aidilfitri 1446H

Andai bicara terselit dusta
Andai perlakuan membekas lara
Andai kata menoreh luka
Andai tingkah tak kena di mata
Ribuan kemaafan dipohon dipinta
Moga ukhuwah kekal selamanya..

Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir & Batin..❤️
🌹كل عام وأنتم بخير 🌹

ZAHIZAN BINTI HASRIN
Johor Bahru, Johor
31 Mac 2025/ 1 Syawal 1446H






Serumpun vs Velocity

Hari terakhir persekolahan sebelum 9 hari cuti sempena Aidilfitri, sekitar sekolah dipenuhi vibe ceria dan wajah gembira. Usai perhimpunan pagi, warga Medini beratur, bersalaman dan bermaafan sempena menyambut kehadiran Syawal yang bakal tiba. Syahdu terasa tatkala mata saling bertatapan dan genggaman erat sepasang tangan menyambut salam penuh ketulusan. Terlerai rasa semua perasaan yang terpendam jauh di lubuk hati apabila segalanya dilepaskan dengan rasa redha dan ikhlas dari sanubari. Alhamdulillah..


Selesai, unit PSS memohon keizinan merakam video kenangan bersama untuk diabadikan sebagai memori kami bagi tahun 2025 ini. Lantunan lagu Serumpun yang melatari video kami memberi kesan yang sangat mendamaikan. Siap sahaja video, kami bergegas ke pejabat untuk menguruskan kutipan sumbangan mangsa banjir bagi diserahkan kepada mangsa dan MPSM JB. Sedang asyik mengira duit sumbangan bersama En Hairul, pasukan PSS menerjah pejabat memujuk kami merakam satu lagi video. Rasa lucu pun ada bila asyik dirakam dalam pelbagai aksi. Macam artis pulak rasanya 😂

Tatkala azan solat Jumaat berkumandang, aku didekati rakan-rakan sesi petang yang menjemput aku menyantuni anak-anak di Dewan Iskandar. Cemburu juga melihat adik-adik sedondon mengenakan busana tema merah jambu yang comel.. mujur juga warna baju purple yang ku pakai boleh masuk jugalah.. Sekali lagi aku melalui proses rakaman bermula dengan lagu Serumpun dan diakhiri dengan Velocity Trend. Aku layankan jelah adik-adik ni.. dikelilingi guru-guru muda, aku pun terpercik rasa muda kembali 😂 Semoga ukhuwah yang terbina terus berkekalan hingga ke hujung usia dan berakhir di syurga.. Aku sayang rakan-rakan ku kerana Allah Ta'ala.


Rewang : Jom Masak!

Merakam kenangan 26 & 27 Mac 2025. Aktiviti rewang memasak bersama rakan-rakan guru, AKP, staf KBK dan PIBG memenuhi pengisian Program Ihya' Ramadhan tahun ini. Bermula dengan gotong-royong menyediakan bahan masakan, aktiviti berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan warga sekolah. Dengan kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang kulinari, En Mahmod dipilih mengetuai pasukan memasak. Hasilnya.. memang terbaik! Pengagihan bubur lambuk bagi sesi pagi dan petang juga berjaya dilaksanakan dengan lancar. Alhamdulillah, rezeki dikongsi bersama dan kejelekitan antara semua warga terus dibina.. Semoga aktiviti seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. InsyaAllah..














Saturday, March 22, 2025

Riang Ria Raya 2025





Sekitar sesi bergambar sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ni.. Dua warna berpadu dalam dua sesi penggambaran berbeza kerana tak cukup korum SLT dan MLT. Takpelah, nanti kita combine dan letak dalam album sekolah elok-elok ya.. 

#medinidihati ❤️
#temaungudanbiru
#sayasayangpasukansaya




Keikhlasan

Beberapa hari kebelakangan ni bujan turun tak berhenti. Beberapa kawasan dinaiki air menyebabkan ramai terkandas dan terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara. Namun, mulai petang semalam keadaan semakin reda dan malam berlabuh tenang. Malam Jumaat pada hari ke 21 Ramadan terasa sangat damai. Mungkinkah Lailatulqadar tiba malam tadi? Di saat hatiku berusaha keras berdamai dengan dugaan yang menyapa, tanpa henti aku memohon Allah terus memberiku ilham dan petunjuk agar aku diberi ketenangan hati untuk melalui proses kehidupan yang penuh warna.

Acapkali, di kala air mata melimpah di luar kawal, selalunya Hajah Hazizah lah yang tanpa jemu terus meniupkan semangat agar aku terus bangkit mendepani situasi. Bukan sekadar rakan sekerja, Hajah dah ku anggap seperti saudaraku sendiri. Banyak kata-kata nasihat, bimbingan dan pesanan Hajah yang melekat kuat dalam hatiku.. Ada satu lagu era 90an yang Hajah berikan tempohari , kini sering bermain-main di fikiran. Lirik lagu tersebut mempunyai maksud mendalam,  seakan-akan menggambarkan gejolak rasa yang aku alami. Jujurnya, setiap kali mendengar bait-bait kata yang didendangkan, air mata ku pasti tumpah.. 

Ya Allah, berikanlah aku ketenangan dan damaikanlah hatiku. Peliharalah mereka yang aku sayangi, kurniakan kebahagiaan dan berikan kesihatan yang baik buat mereka. Jauhkanlah kami daripada rasa iri hati, dengki khianat dan tipu daya dunia.. Hanya kepadaMu ku serahkan sepenuhnya takdir hidupku. Allahumma Aamiin.. Ya Mujiib..

Thursday, March 20, 2025

Layankan Je...

Usai sesi penggambaran sempena Hari Raya Aidilfitri pagi ini, geng Jabatan Bahasa berkumpul dan merakamkan video ini sebagai kenangan. Simpan di sini untuk ditatap kembali suatu hari nanti apabila aku tidak lagi berada di sini. Sekadar hiburan sebagai memori sendiri..




Gundah Tak Sudah

Mendepani karenah dan ragam manusia adakala melelahkan minda. Dalam banyak situasi, ia menuntut kesabaran serta kekuatan yang bukan sedikit. Itu antara pengalaman yang aku pelajari dari cebisan hikayat hidup seorang Zahizan. Melayari bahtera kehidupan yang penuh gelombang bersendirian, memberi cabaran yang bukan calang-calang getirnya. Kadang-kadang aku rasa hairan dengan sikap sesetengah manusia yang mudah menghakimi, menabur tohmahan serta membuat spekulasi hanya melalui pandangan 'makrifat' tanpa menyelidik kebenaran di sebalik dusta yang disebarkan.

Itu sebenarnya yang aku alami sendiri. Aku akui, aku seorang yang suka bekerja. Duduk diam, berehat santai dalam masa yang panjang akan membuat aku mudah jatuh sakit, lambat pulih dan menjejaskan kestabilan emosi ku. Sebab itulah, meskipun diberi cuti sakit selepas menjalani pembedahan akibat tendon di kaki kanan ku putus tempohari, aku bingkas kembali pejabat. Yang putus tu urat di kaki, anggota lain masih sihat dan waras untuk terus berkhidmat. Lagipun, aku merasa belas melihat staf terpaksa menghantar dokumen ke rumah untuk diurus (selain rimas melihat ada yang mengambil kesempatan menggunakan alasan itu untuk masuk lewat ke pejabat). Pada hemat aku, biarlah aku yang ke sekolah.. banyak perkara yang boleh diurus dengan lebih cepat. Mudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita.. itu pegangan ku.

Namun, apabila kehadiran ku ke sekolah menjadi berita yang tidak sedap ceritanya, dikaitkan dengan gosip liar yang melumat-lunyaikan perasaan, aku anggap ia sebagai penghinaan yang melampau. Mungkin bagi sesetengah orang, MC bermakna cuti rehat. Jauh dari segala kerja, segala bebanan, segala tugas.. terpulanglah. Namun bagi aku, selagi aku boleh bergerak, tiada salahnya aku terus hadir bertugas. Sekadar duduk di kerusi roda mengehadkan pergerakan, mengurus apa yang mampu, membantu sehabis daya dengan kudrat yang masih bersisa. Salahkah?

Mungkin juga ada mata yang tak senang melihat, cemburu melulu atau membuat kesimpulan dengan akal singkat yang dangkal? Sakitnya difitnah tidak terperi, merobek perasaan yang sangat memedihkan. Dikaitkan pula dengan sangkaan yang tak terlintas di benak fikirku. Yang menyindir dengan perkataan tajam menikam, yang mengerling sinis penuh berbisa semuanya ku telan dan ku hadapi sendiri. Paling kecewa, aku orang terakhir yang tahu.  Syukur, masih ada sahabat tampil berani menyatakan kebenaran. Semoga Allah mendengar doa insan yang dianiaya dan melembutkan hati ku untuk sentiasa belajar memaafkan.. Mendung hitam tak selamanya bertapak kerana pelangi indah pasti akan datang menyingkap kebenaran.. Sabarlah!



Sunday, March 16, 2025

Mendung, Hujan & Dingin

Mendung...
Menoktah tinta ceria
Bias garis masa
Memalap sirna terang
Sekerdip menghilang 
Gemawan hujung rindu 
Berganti esak sendu
Bungkam tanpa suara
Pendam sejuta bicara

Hujan...
Titis renyai membasah 
Deras mengalir tumpah 
Wajah seraut dimaniskan
Jejak hiba dibenamkan
Lafaz menusuk jiwa
Tajam kerling hujung mata 
Rembes keluhan hati
Pasrah kepada Yang Maha Mengerti

Dingin...
Menerobos liang sabar
Damai dirincih getar
Menanti pamitan waktu
Menginjak arah yang satu 
Selagi nafas masih bersisa
Takkan berpaling berputus asa
Tatkala hadir kemilau mentari  
Nestapa pasti beranjak pergi


Zahizan Hasrin 
16 Mac 2025
TPI, Johor 

Saturday, March 15, 2025

Memori Tercipta

14 Mac 2025 melakar memori manis apabila SMK Medini diisytiharkan sebagai Pusat Prestasi Tinggi Kriket sebaik aku menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pihak Majlis Kriket Johor (Johor Cricket Council) yang diwakili oleh Presiden JCC, Prof TS Log Faidz bin Abd Rahman. Perjanjian ini diharapkan dapat merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai pemain kriket yang berwibawa untuk membawa nama Malaysia ke arena sukan kriket di persada dunia.




Di sebelah petangnya pula, majlis iftar dan solat terawih berlangsung meriah dengan sambutan hangat seluruh warga. Meskipun hujan lebat mengiringi persiapan akhir sebelum waktu berbuka, kehadiran para tetamu yang ramai menghapus kegusaran di hati kami. Melihat barisan tetamu jemputan yang sudi melapangkan masa memenuhi undangan pihak sekolah, menjentik rasa terharu di dalam hati. Kebersamaan Tuan Haji Saliman Selamat, PPD Johor Bahru bersama Tuan Haji Suliman Kamaor, Timbalan PPD Sekolah, Encik Mohd Faiz Razali selaku Pegawai Meja Sekolah Amanah, Encik Mohd Najib bin Jabar YDP PIBG dan AJK serta ramai tetamu jemputan amat dihargai.



Alhamdulillah, usai sudah satu majlis bagi menjayakan Program Ihya' Ramadan pada tahun ini. Semoga kejelekitan dan ukhwah fillah yang terjalin antara SMK Medini dengan semua pemegang taruh berjalan harmoni demi kecemerlangan sekolah dan warganya. InsyaAllah..