Itu sebenarnya yang aku alami sendiri. Aku akui, aku seorang yang suka bekerja. Duduk diam, berehat santai dalam masa yang panjang akan membuat aku mudah jatuh sakit, lambat pulih dan menjejaskan kestabilan emosi ku. Sebab itulah, meskipun diberi cuti sakit selepas menjalani pembedahan akibat tendon di kaki kanan ku putus tempohari, aku bingkas kembali pejabat. Yang putus tu urat di kaki, anggota lain masih sihat dan waras untuk terus berkhidmat. Lagipun, aku merasa belas melihat staf terpaksa menghantar dokumen ke rumah untuk diurus (selain rimas melihat ada yang mengambil kesempatan menggunakan alasan itu untuk masuk lewat ke pejabat). Pada hemat aku, biarlah aku yang ke sekolah.. banyak perkara yang boleh diurus dengan lebih cepat. Mudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita.. itu pegangan ku.
Namun, apabila kehadiran ku ke sekolah menjadi berita yang tidak sedap ceritanya, dikaitkan dengan gosip liar yang melumat-lunyaikan perasaan, aku anggap ia sebagai penghinaan yang melampau. Mungkin bagi sesetengah orang, MC bermakna cuti rehat. Jauh dari segala kerja, segala bebanan, segala tugas.. terpulanglah. Namun bagi aku, selagi aku boleh bergerak, tiada salahnya aku terus hadir bertugas. Sekadar duduk di kerusi roda mengehadkan pergerakan, mengurus apa yang mampu, membantu sehabis daya dengan kudrat yang masih bersisa. Salahkah?
Mungkin juga ada mata yang tak senang melihat, cemburu melulu atau membuat kesimpulan dengan akal singkat yang dangkal? Sakitnya difitnah tidak terperi, merobek perasaan yang sangat memedihkan. Dikaitkan pula dengan sangkaan yang tak terlintas di benak fikirku. Yang menyindir dengan perkataan tajam menikam, yang mengerling sinis penuh berbisa semuanya ku telan dan ku hadapi sendiri. Paling kecewa, aku orang terakhir yang tahu. Syukur, masih ada sahabat tampil berani menyatakan kebenaran. Semoga Allah mendengar doa insan yang dianiaya dan melembutkan hati ku untuk sentiasa belajar memaafkan.. Mendung hitam tak selamanya bertapak kerana pelangi indah pasti akan datang menyingkap kebenaran.. Sabarlah!
No comments:
Post a Comment