Thursday, March 13, 2025

Bagaikan Puteri

Menjalin ukhuwah dan bertukar pandangan serta pengalaman hidup dalam pelbagai aspek memang mengujakan. Lantaran itulah, peluang menghadiri Bengkel Kewangan bersama PGB (Pengetua & Guru Besar) Sekolah Amanah Negeri Johor, tidak aku lepaskan. Selain memperoleh ilmu pengurusan kewangan, aku berpeluang bersua dengan insan-insan hebat yang penuh ilmu di dada serta luas pengalaman mereka. MasyaAllah.. Tabarakallah..

Ceritanya, pagi ini aku ke SK Pasir Gudang 1 bersama sidekick utama, Hajah Hazizah. Meski masih bercuti sakit, ku gagahkan juga hati menuju ke sana. Sepanjang jalan, aku menemani dan ditemani Hajah yang kurang sihat disebabkan batuknya yang masih bersisa. Sebaik kami tiba di perkarangan sekolah, kami dimaklumkan bahawa bengkel akan dilaksanakan di tingkat 3 bangunan pertama! Allahu.. mana mungkin aku mampu mendaki anak tangga yang ada sedangkan nak menapak pun aku belum berupaya? 

Namun, begitulah.. perancangan Allah yang maha terbaik. Sedang berkira-kira kaedah untuk ke lokasi bengkel, muncul hero-hero perkasa dengan rela hati mengangkat aku bersama kerusi roda untuk naik ke tingkat atas. Segan, malu, takut semua perasaan bergaul sebati di dalam hati. Bak pahlawan sejati, empat orang rakan Guru Besar tanpa ragu, pantas bertindak. Masing-masing mengambil tempat, memulakan langkah gagah hingga aku berjaya mendarat di Bilik Seminar SKPG1 dengan selamat. 

Kesian melihat rakan-rakan ~ GB Johari, GB Shaharudin, GB Ustaz Zamri dan beberapa sahabat PPD, Pengetua dan Guru Besar gigih memastikan aku dapat bersama dalam sesi yang dilaksanakan. Begitu juga ketika tamat program. Aku dibawa turun dengan selamat (perasan macam puteri dalam tandu pulak 😂) oleh rakan-rakan panglima sekolah amanah yang gagah perkasa lagi berwibawa. Syukur, alhamdulillah..

Meski mutakhir ini lingkar hidupku dilanda badai kencang yang meranapkan sedikit kekuatan minda, hari ini aku rasa amat bertuah dikelilingi sahabat handai yang sudi menghulur tangan membantu aku menghadapi kesukaran dengan penuh ketulusan. Jutaan terima kasih buat sahabat seperjuangan yang membantu.. Semoga Allah merahmati kalian selalu. Terima kasih Allah menghadirkan mereka yang baik-baik dalam hidupku.. 🥺



No comments: