Pertemuan semula dengan Gomathy a/p Sethuraman atau mesra disapa G, rakan sekelas yang peramah dan mesra ini mengundang pelbagai perasaan. Betapa tidak, kali terakhir kami bersua ialah kira-kira 5 tahun lalu ketika G menziarahi arwah suami ku yang kritikal di HSA bersama Rahayu Rustam, seorang lagi sahabat sekelas kami di TIJB. Aku dan G pernah bersekolah di dua buah sekolah yang sama ~ di Teknik Johor Bahru dan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College) JB. Kami sekelas sepanjang menuntut di tingkatan 4P1 dan 5P1 namun terpisah sebaik ke tingkatan enam di MSAB. G meneruskan pelajaran mengikuti aliran Sains Tulen manakala aku bertukar angin, beralih ke aliran sastera disebabkan 'trauma' berpanjangan dalam subjek Matematik Tambahan dan Fizik 😂
Sebaik tamat STPM, G menyambung pengajian ke UMS , Sabah manakala aku ke USM Pulau Pinang. Terkini, G sedang menanti giliran membentang disertasi PhD beliau dalam bidang Kimia di Universiti Malaya. Kesudian beliau singgah menziarahi aku di sekolah pagi ini memang amat bermakna. Ternyata, jarak bukanlah pemisah bagi sebuah ikatan persahabatan yang ikhlas terjalin. Semoga semua sahabat dan rakanku dipelihara dan dilindungi olehNya serta berjaya mencapai apa jua impian dalam kehidupan masing-masing. Aku sayang semua sahabatku kerana Allah Ta'ala .. 🥰❤️🌹
No comments:
Post a Comment