Thursday, March 6, 2025

Kaki Robocop

Hujan renyai mengiringi perjalanan kami ke Hospital Sultanah Aminah pagi ini. Hujan rahmat yang turun semenjak sahur tadi setidak-tidaknya menyejukkan suasana yang selama ini panas membahang. Mengharungi kesesakan trafik sementelah semua orang berpusu-pusu keluar awal sepanjang Ramadan, Kak Suliah memandu tenang dan cermat membelah keheningan pagi. Syukur, meski ditemani hujan, perjalanan kami lancar tanpa sebarang masalah. Sebelum jam 8 pagi kami dah selamat tiba di perkarangan hospital.Agak gembira juga kerana masih belum ramai pesakit beratur di kaunter nombor giliran.


 Sebaik nombor giliran dipanggil, kami terus ke bilik R10. Di sana, Dr Azrin Syahrini yang cantik manis, tenang memeriksa kawasan luka pembedahan yang sebelum ini agak teruk dijangkiti kuman. Setelah splint dibuka dan luka dibersihkan, Dr Azrin memasang braces di kaki kanan ku. Fuyooo.. rasa macam Robocop pun ada! 🤣😂Alhamdulillah akhirnya kaki ini bebas dari balutan tebal yang merimaskan. Menurut Dr Azrin, selepas ini aku perlu menjalani proses fisioterapi untuk menguat dan mengembalikan fungsi kaki kanan ku. Ya Allah, tak terkata betapa bersyukurnya aku kerana akhirnya pemulihan ku menunjukkan tanda positif seperti yang aku harapkan.


Lafaz kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan proses pemulihan ini berlaku meski banyak liku yang aku lalui. Dua minggu lagi aku bakal melalui program fisioterapi pula. Semoga semuanya berjalan lancar dan aku pulih sepenuhnya seperti sediakala. Terima kasih Allah! ❤️

No comments: