Tohmahan dan tuduhan tanpa asas yang dilontarkan dari lisan lidah yang tidak bertulang, acapkali meninggalkan kesan yang sangat menyakitkan. Benarlah, tajamnya perkataan lebih bisa lukanya dari tusukan pedang di medan perang. Pedih yang tercalar di hati menambah parahnya luka jiwa pasti tidak akan mudah sembuh sekelip mata. Mahal sungguh erti bahagia dalam kamus hidupku yang sementara cuma. Bukankah benar, andai kita tidak dapat membuat orang ketawa, tidak perlu pula menjaja cerita palsu yang menambah luka, menebar kisah dusta?
Allahumma ya Allah.. andai tingkahku disalah anggap, tegur dan bertanyalah segera agar kebenaran disingkap. Pentas hidup ini banyak rentak dan lenggok tarinya. Jika irama dan langkah tidak seiring, manakan dapat menzahirkan persembahan indah yang terpaling. Duhai hati sabar dan ikhlaskan kemaafan walau sakit, yang getir itu cubalah dihadam.. Tapi, apakan daya, aku hanya manusia biasa. Sabar ku ini ada batasnya. Moga hari-hari ku terus ditemani kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan fikiran.
Ya Allah, aku redha atas segala ujian yang Engkau takdirkan. Mudah-mudahan dengan ujian yang diberi, aku akan sentiasa dekat kepadaMu. Ya Rahman Ya Rahim, bantulah hambaMu ini.. Lapangkanlah segala kegusaran di dadaku. Hindarilah aku, keluarga dan sahabat-sahabat ku jauh dari fitnah, kezaliman dan tipu daya dunia. KepadaMu sahaja ku sandarkan sepenuh harapan. Aamiin ya Rabbal Alamin 🥺
No comments:
Post a Comment