Tuesday, September 28, 2010

NKRA Pendidikan : Satu Perkongsian


Bidang Keberhasilan Utama Negara atau lebih dikenali sebagai NKRA (National Key Resuls Areas) telah dijadikan sebagai salah satu teras dalam Program Transformasi Kerajaan (Government Transformational Project atau GTP) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 28 Januari 2010 yang lepas. Tujuan mengadakan GTP kepada rakyat adalah untuk memperkasakan sistem pencapaian kepada rakyat dan melaksanakan keputusan pantas dan berimpak bagi mencapai Wawasan 2020. Semasa pengumuman barisan Kabinet baru oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 9 April 2009, beliau telah menegaskan supaya setiap Menteri akan diukur prestasi pencapaian berdasarkan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, pada 28 April 2009, beliau telah mengumumkan KPI akan dijadikan piawai kepada pencapaian menteri serta anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti Kementerian dan agensi-agensi secara objektif. KPI diwujudkan supaya membolehkan rakyat menilai perkhidmatan secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif. Di bawah NKRA Pendidikan iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, empat sub NKRA telah dikenal pasti iaitu Prasekolah, LINUS, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Tawaran Baru kepada Pengetua / Guru Besar atau lebih dikenali sebagai Bai'ah.

Di dalam amalan NKRA, kerajaan telah menekankan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) untuk diterapkan sebagai satu kaedah mempertingkatkan kualiti perkhidmatan. Sejajar dengan visi, misi dan fungsi organisasi, setiap sekolah perlu mempunyai KPI masing-masing sebagai sasaran yang akan dicapai. Bagi organisasi pendidikan, sistem pengukuran prestasi berteraskan KPI perlu diamalkan sebagai satu strategi pengurusan (Story, 2002).

Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Ini kerana terdapat persepsi serta nilai berbeza daripada pelbagai pihak terhadap keberkesanan sesebuah sekolah (Sharifah, 2000). Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan-amalan pengurusan yang berasaskan prestasi untuk menambah baik sistem dan amalan sekolah seterusnya menyumbang ke arah keberkesanan sekolah.

No comments: