Friday, July 5, 2024

Belasungkawa Cikgu Adie..

Jumaat yang hening.. sebaik tersedar dari lena aku menjeling jam di dinding. Awal lagi, belum pun 4 pagi. Terkebil-kebil aku cuba pejam semula agar terlena kerana malam tadi bersengkang mata hingga lewat malam demi melunaskan tuntutan tugas yang datang secara tiba-tiba. Bingkas aku duduk di birai katil berdoa dan berzikir lantaran keuzuran bertahajud. Lama aku berteleku di situ. Wajah dan figura uzur Ckg Adie yang ku ziarahi petang semalam bertimbal-balik tanpa diminta.

Semalam, aku direzekikan berkesempatan menziarahi Ckg Adie yang terlantar akibat kanser usus yang mengganas. Bersama mantan Pengetua Tasek, Puan Hjh Norazlinda Mohd Salleh, kami meredah kesibukan lalu lintas menuju kediaman keluarga Ckg Adie di Larkin, JB. Sungguh tak terjangkau di benakku, begitu rapuh dan berubah fizikal adindaku itu. Menitis air mata melihat seraut wajah yang dahulunya sentiasa manis mengukir senyuman, terlantar kaku tanpa upaya. Allah! Berat sungguh ujianmu, dik.

Tidak berlama-lama, kami mohon permisi pulang. Ketika itulah satu-satunya puteri Ckg Adie, Alfatunnisa memaut kakiku meminta dibawa bersama. Wajah manja anak kecil berusia 2 tahun 5 bulan itu aku tatap dengan mata berkaca. Nak itut.. nak itut.. kalimah itu diulang berlagu mendayu. Tak sampai rasa hati menghampakan harapan Al, si kecil yang petah itu aku dukung dan ku bawa menuju ke kereta. Sebaik diizinkan ibunya, Al ku bawa mengelilingi kawasan perumahan yang damai dan permai. Kegirangan Al mengundang hujan lebat di tabir mata..

Hari ini, sebelum sempat masjid melaungkan panggilan menunaikan solat fardhu Jumaat, aku menerima khabar duka.. pemergian Ckg Adie di hari mulia ~ sayyidul ayyam atau penghulu segala hari. Adindaku kembali jua ke pangkuan Maha Pencipta. Innalillahi wainnailahi rojiuun.. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Segera aku persiap diri, jenazah Cikgu Adie akan ku iringi. Selamat jalan ke negeri abadi wahai sahabat. Semoga di sana kita diizinkan bertemu kembali. Salam perpisahan di dunia sementara. InsyaAllah di dunia lain kita akan bersua.. 🥹😭


 

No comments: