Hari ini genap 5 tahun berpulangnya kekasih hatiku ke negeri abadi. Kadangkala macam tak percaya Abang tidak lagi bersamaku di dunia fana ini. Seringkali aku terasa Abang masih ada menemaniku.. seolah-olah Abang cuma ke surau, masjid, mesyuarat.. sekejap lagi pasti Abang pulang membawa air tembikai kegemaranku bersama. Di waktu rindu menghambat, aku cuba lelapkan mata dengan harapan bila aku terjaga semua ini cuma mimpi semata-mata..
Belahan jiwaku memang kacak orangnya. Berkulit bersih, berlesung pipit dengan senyum manis tak pernah lekang, memang sejuk mata memandang. Ditambah dengan tutur bicara sopan, lemah lembut dan penyayang, hampir mustahil untuk aku mencari pengganti yang setanding dirinya. Santun kata dan tinggi adab serta budi bahasanya selalu mencuri hati orang tua. Sikap ringan tulang dan tidak berkira menyebabkan Abang dikelilingi sahabat yang ramai. Tapi.. takdir menentukan Abang dijemput pulang ke pangkuan Rabbul Izzati pada usia yang masih muda, 45 tahun.
Sepanjang menjaga Abang di hospital dulu, ku perhatikan rezeki Abang sangat murah dan mudah. Semenjak hari pertama Abang rebah akibat Medula Oblongata Stroke Infarct, ada saja nurse lelaki dan wanita membacakan Yassin di sebelah Abang. Alangkah cemburunya aku.. dengan rezeki yang diberikan kepada Abang. Begitu juga, sepanjang 9 bulan Abang terlantar, tidak putus-putus Abang menerima kunjungan saudara mara, handai taulan dan jiran tetangga pelbagai agama dan bangsa. Tidak terluah rasa syukur ku menyedari betapa Abang tidak pernah dilupakan oleh mereka. Ada satu ketika, Abang diziarahi rakan2 VIP politik yang ramai, menyebabkan polis hospital tertanya siapa gerangan Abang sebenarnya. Aku hanya menggeleng tidak tahu, lebih baik begitu..
Abang, anak kita Ain dah semakin membesar. Banyak sikap dan lakunya mengikut Abang cuma Ain tak seramah dan semesra Abang. Agaknya Ain pemalu macam Izan, Abang. Dia anak yang baik dan memahami.. ada sekali Ain pulang dari sekolah mengadu terasa hati bila rakannya dijemput pulang oleh bapa mereka. Mummy hanya mampu menyapu air mata di pipi Ain, memujuk supaya Ain bersabar sehingga sampai waktu kita bersama semula.. Abang, Izan rindu Abang.. bila Izan berdepan saat sukar, Izan cuma mampu bercerita dan menangis sepuasnya kepada Yang Maha Mendengar. Tiada lagi suara lembut Abang mendamaikan kedukaan, dakapan erat memujuk Izan menghentikan tangisan.. Sungguh, rindu ini tiada penghujungnya dan sangat berat untuk ditanggung. Semoga suatu masa kelak kita kembali bersama. Al-Fatihah buat kekasih hati yang aku sanjungi ~ Shamsul Kamal bin Jamaludin.
No comments:
Post a Comment